Thursday, May 24, 2007

Pelacur Agama Vol 7

Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh,

Beberapa hari lepas seorang rakan mengesyorkan ana membaca satu blog dimana penulis blog tersebut sudah dikenali ramai dengan akidahnya yang terpesong. Apa yang ingin ana utarakan disini bukanlah mengenai penulis blog tersebut tetapi satu pengalaman yang diceritakan oleh penulis blog tersebut apabila ditangkap oleh satu jabatan agama Islam atas kesalahan bersubahat dengan maksiat.

Kisahnya, rakan penulis membawa seorang perempuan ke rumah mereka atas tujuan melakukan maksiat tetapi rumah sewa mereka didatangi beberapa pegawai dari jabatan agama setelah menerima maklumat. Tidak perlulah ana memokuskan kepada akhlak penghuni rumah penulis itu kerana perkara maksiat serta bersubahat yang mereka lakukan adalah satu kesalahan besar namun apa yang ingin ana utarakan disini adalah akhlak buruk pegawai jabatan agama islam itu!

Jabatan agama Islam adalah satu jabatan yang ditubuhkan untuk menegakkan undang-undang Islam serta mengambil tindakan kepada mereka yang melanggarinya. Mereka-mereka di jabatan itu adalah orang yang diberi tanggungjawab untuk menegakkan hukum Allah dan Rasul serta perlu menjalankan tugas mereka dengan penuh mulia dan amanah.

Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Penulis blog tersebut menceritakan bahawa dia ternampak satu didinding di pejabat jabatan agama itu dipenuhi dengan gambar-gambar mereka yang ditangkap semasa pencegahan maksiat dilakukan! Begitu mengaibkan sekali telahan ana kerana perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku di pejabat jabatan agama! Apakah tujuan utama gambar-gambar menggaibkan itu dipaparkan? Apakah ingin mewujudkan kesedaran kepada semua pegawai di jabatan itu atau adakah ianya sebagai bahan jenaka pegawai-pegawai di situ?

Ana tidak nampak apakah rasionalnya kita memaparkan gambar-gambar bogel atau separuh bogel pelaku-pelaku maksiat yang ditangkap dan diletakkan sebagai paparan umum? Adakah semua gambar itu satu jenaka yang boleh kita tertawakan bersama rakan pejabat tanpa memikirkan akan aib empunya gambar yang dipaparkan itu.

Pelaku-pelaku maksiat tersebut telah ditangkap, dihukum dan dikenakan kaunseling tetapi kenapa pula gambar mereka dipaparkan sebegitu? Tidakkah kita terfikir perasaan mereka apabila mereka melihat sendiri gambar yang memalukan itu? Dan dimanakah sifat perikemanusiaan kita sebagai seorang yang berkerja di jabatan agama Islam? Seorang yang sepatutnya tidak melakukan perkara-perkara tersebut untuk tatapan umum. Seorang yang dipertanggungjawab untuk menegakkan hukum Allah dan Rasul tetapi menyalahgunakan kuasa dengan mengherdik pelaku kononnya mereka tidak tahu dosa pahala, padahal pada masa yang sama kita, sebagai penegak hukum agama sendiri, melakukan dosa yang lebih teruk dengan memaparkan keaiban pelaku-pelaku maksiat.

Bukankah itu menunjukkan keburukan kita sendiri dengan melacurkan agama serta memburukkannya ketahap yang tidak sepatutnya kita lakukan. Sebagai penegak hukum, pengamal undang-undang agama, perlukah kita melakukan perkara seumpama pelacur, memperdagangkan tubuh untuk kepentingan diri sendiri? Tidak ubahkah mereka-mereka di jabatan agama Islam seperti pelacur agama yang memburukkan agama kepada orang Islam sendiri terutama pelaku maksiat yang melihat akan tingkah laku pegawai agama tidak ubah seperti mereka?

Kenapa tidak dipaparkan akhlak dan tingkah laku yang mulia untuk menginsafkan pelaku-pelaku maksiat disamping mendekati serta bergaul dengan mereka untuk mendekatkan mereka kepada agama?

No comments: